Saturday, October 23, 2010

Harga sehelai kemeja seorang MB

Harga sehelai kemeja seorang MB

Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun
kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya.
Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu,
tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua
cucu. Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta.
Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.
Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman.
Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan
kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.

Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya,
pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun
kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.

FOKUSKAN LENSA

Lebih-lebih lagi pelancong atau orang luar, jika tidak diberitahu, mereka
lalu begitu sahaja tanpa merakamkan atau memfokuskan lensa ke arah rumah
itu.

Namun, di situlah diamnya seorang pemimpin negeri. Di satu sudut rumah,
seorang lelaki tanpa kaca mata, segak membetulkan songkok sejurus
mengenakan kot cerah coklat dan mengikat tali leher merahnya.

Kemudian dia duduk seketika, sambil menghirup kopi, minuman kegemarannya.
Pagi itu, dia tidak sempat bersarapan, seperti kelaziman hari-hari lain
juga.

Jadualnya padat dan waktu yang singkat, adakala tidak upaya menjamah
hidangan pagi. Itulah rutin yang dilaluinya, sejak hampir tiga tahun
memikul amanah rakyat dan agama.

Sekali hirup, beliau merenung jauh. Kini tidak sama seperti dulu. Malah
dia terasa kehilangan sesuatu iaitu tidak dapat melakukan perkara yang
disukainya sejak dulu. Rupanya dia merindui untuk ke pasar secara
sendirian membeli ikan dan bersembang panjang dengan masyarakat di warung
kopi atau di kedai makan!

MENUNGGU ARAHAN

Lamunannya terhenti tatkala, seorang pengawal peribadi muda memaklumkan
semuanya telah siap siaga menunggu arahan selanjutnya.

Di luar sana, kereta peronda bersama polis pengiring bermotosikal, sudah
terpacak setia. Di tepi laman rumah dua buah kereta rasmi kerajaan, dua
pemandu beserta empat pegawai lelaki kemas berpakaian kemeja lengan
panjang berdiri di sisi pintu, menghormati dia, Dato' Seri Ustaz Azizan
Abdul Razak selaku Menteri Besar Kedah mendahului pergerakan semua.

Tepat jam 8.00 pagi itu, pasukan pengiringnya bersama pemimpin negeri itu
bergerak ke satu lokasi,jauh di pendalaman di mana majlis besar dihadiri
ribuan rakyat yang sudah menunggu tanpa jemu.

Di sana, rakyat sudah tidak sabar menantikan amanatnya. Gurau dan seloroh
Menteri Besar mereka itu, seringkali mencuit hati. Tanpa laras bahasa
yang sukar, menggunakan ayat-ayat bersahaja, beliau bijak dalam
mencernakan dan mencanaikan ucapannya agar mudah difahami semua.

Baik isu ekonomi, sosial, agama, politik, pendidikan mahupun
undang-undang, Ustaz Azizan tahu apa yang diperkatakan. Tidak sekadar
membaca teks, beliau benar-benar faham apa yang diluahkan. Sesekali
beliau menggunakan metafora, analogi dan contoh-contoh sekeliling, untuk
mencantas atau menjelas letak duduknya sesuatu perkara.

"Saya ini umpama ketam batu. Sekali saya sepit ekor beruk, pasti
menggelupur. Jangan cabar saya kembali ke perangai lama, nanti saya
bongkar habis semua ...!"

Seusai berucap laungan takbir bergema dengan iringan tepukan gemuruh,
menghangat suasana malam itu sewaktu berceramah di Kompleks PAS Kedah di
Kota Sarang Semut dengan disaksikan puluhan wartawan dan pengamal media
dalam dan luar negara.

ACAH-ACAH LAWAN

Kehadiran 10,000 hadirin semata-mata mahu mendengar petikan dan amaran
Ustaz Azizan yang tak mungkin dilupakan berhubung isu Adun Lompat
beberapa bulan lalu, akibat diacah-acah lawan bagi mencalarkan imej
bersih dan amanah yang galas beliau selama ini.

Itu cerita dan kehebatan Ustaz Azizan bersilat dalam gelanggang ceramah.
Lain pula kisahnya ketika dia menggulung hujah dan menepis segala
jurus-jurus lawan yang dihalakan kepadanya ketika Sidang Dewan Undangan
Negeri Kedah.

"Soalan itu seolah-olah menghina bidang kuasa Sultan. Tarik balik soalan
itu!" kata seorang Adun Pembangkang daripada Barisan Nasional dengan
penuh emosi berang.

Tanpa membuang masa, Azizan bangun mencelah: "Perkataan 'seolah-olah'
bukanlah ayat yang jelas atau mempunyai bukti. Jika di mahkamah,
perkataan ini tidak terpakai sama sekali".

Hujahnya tepat, menyiku lawan. Beliau sudah lama dan sebati dengan Dewan.
Undang-undang dan peraturan mesyuarat, umpama 'zikir' di bibirnya. Dia
yang paling lama sebagai Adun Pembangkang dan kini beralih kuasa di
tangan, beliau memegang tampuk pemerintahan.

Bukan sembarangan Ustaz Azizan ini. Berwatak sederhana dan bersahaja.
Anak kelahiran kampung Sungai Limau, yang diasah sopan, akhlak dan
pendirian. Bijak berilmu sehingga melanjutkan pelajaran ke University Of
Kent, Canterbury, United Kingdom, pengkhususan dalam bidang perlembagaan.
Tak mudah lawan atau musuh menyerangnya bertubi-tubi kerana tajinya
sangat tajam.

Tidak cukup dengan itu, pengikut dan anak muridnya terlalu ramai. Masakan
tidak, beliau dulu adalah seorang tenaga pengajar di Maktab Mahmud, Ketua
Jabatan Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan pensyarah
Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Tidaklah berhasrat menceritakan fakta-fakta, statistik atau angka-angka
kejayaan pimpinan Ustaz Azizan ini berkaitan bab peningkatan hasil balak,
pengurangan kadar jenayah, percambahan projek pertanian atau apa sahaja,
kerana ia sudah terang lagi bersuluh. Risalah, berita, dokumentasi,
rakaman dan cd-vcd sudah bercambah dan sentiasa memenuhi ruang galeri.

BANGUNKAN INSANIAH

Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan
Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan
penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran
yang ditawarkan.

Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek
ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42
subjek baru diperkenalkan.

Sebenarnya beliau bukan seorang pemimpin yang suka melakonkan watak atau
berlakon di hadapan lensa malah cukup keberatan untuk dikutip kisah
perjuangan sepanjang hayatnya. Dia pernah menolak diwawancara Harakah
secara eksklusif Harakah, walaupun beliau amat sayang akan organ parti
ini dan pernah memegang jawatan Pengarah Urusan Harakah.

Katanya kepada saya, ketika melaporkan diri sebagai Ketua Wartawan
Harakah Negeri Kedah awal tahun ini, beliau lebih suka bersikap merendah
diri dan kurang menggemari publisiti berbentuk sensasi.

"Takpalah...Azamin. Biar saya 'low profile' dan buat kerja-kerja macam
biasa. Azamin buatlah kerja dan duduklah elok-elok di sini ya," katanya
bernada rendah menyinggah hati nurani.

Dan sejak itu saya memerhati dari jauh dan mengekorinya tanpa disedari.
Tidak pernah saya mendekatinya dengan lebih rapat lagi bimbang-bimbang
disalah erti. Sehinggalah selepas tujuh purnama saya di sini, beliau buat
pertama kalinya menjemput saya ke rumah. Berbual santai, sembang-sembang
hal keluarga dan menitipkan luahan hatinya tentang pergolakan politik
semasa.

Dulu bermacam-macam nista dipalit kepada Ustaz Azizan. Tidak mesra, tidak
pandai ceramah, ego dan bengis kata mereka yang tidak puas hati dengan
Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Adun Sungai Limau ini.

Namun setelah dua kali berbual mesra dan mengikuti segala aktiviti serta
program beliau selama tujuh bulan ini, nyata tusukan dan cacian itu,
tidak benar dan hanya fitnah semata.

AMAT TEGAS

Ini tidaklah bermakna, dikesampingkan warna sebenar, perwatakan beliau.
Ustaz Azizan sememangnya seorang yang amat tegas terutama melibatkan
tugasan dalam parti mahupun kerajaan negeri. Bekas pensyarah kehormat di
Universiti Mindanao ini juga tidak suka kerja "cincai-bomcai".

Baginya semua 'perfect' dan 'zero-defect'. Tidak kurang kakitangan atau
petugas parti yang menerima terjahan teguran dan kritikan daripadanya.
Katanya setiap tindakan memberi kesan kepada agama dan perjuangan parti
yang dibawa. Yang akan menerima tempias ialah, Islam dan PAS.

Betapa seriusnya Ustaz Azizan mentadbir parti sehingga adakalanya
bermesyuarat sampai malam dan sesekali beliau mengejutkan para pegawainya
yang sedang lena diulit mimpi, untuk berkumpul di rumahnya lewat tengah
malam bagi membincangkan isu amat genting.

Pernah sekali, walaupun pintu tertutup rapat, saya mendengar beliau
berang memarahi seseorang kerana kelemahan menyelesaikan tugas yang
diberi. Gamam juga saya yang kemudian beransur beredar perlahan-lahan
daripada pejabat Menteri Besar itu sebelum menambah lagi murka.

Akan tetapi ironinya, puncak kemarahannya hanya di bucu empat penjuru
biliknya sahaja. Selepas melintasi ruang legar atau di luar bilik itu,
beliau akan bersikap sediakala malah orang yang dimarahinya, boleh
berbual dan makan semeja dengannya.

CUKUP BERANG

"Paling pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup
berang jika sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia
begitu teliti dan cerewet tentang duit," kata seorang kakitangan kerajaan
negeri tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan peruntukan
kewangan.

Selain itu beliau turut mengarahkan semua Exco Kerajaan negeri, melalui
potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung Tunku Mahmud, bagi tujuan
kebajikan untuk rakyat Kedah.

Ya, memang tidak disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab
wang kerajaan. Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan
sebelum beliau bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur
adukkan antara wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.

Apatah lagi dalam hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan,
bapa 14 orang anak ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk
menawarkan pekerjaan kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri
sungguhpun diketahui ada antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap,
kata satu sumber rapat dengan MB Kedah itu.

Ketika mula-mula mengangkat sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang
lalu, rumahnya tidak mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.

Namun atas nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan,
Ustaz Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah
dan pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan
peruntukan kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.

Sejak dua tahun lebih menjadi MB, beliau tidak pernah ke luar negara
walaupun pernah dijemput oleh gabenor jiran senegeri iaitu Thailand.
Menjelang Ramadan ini, khabarnya kali pertama beliau mahu akan ke negara
Timur Tengah, setelah lama mendiamkan diri melaksanakan tanggungjawabnya
di sini.

Beliau sebenarnya tidak mahu, dianggap memoncah dalam berbelanja dan
dilihat membuang masa serta bersuka ria ke sini sana lebih-lebih lagi ke
luar negara. Hatta dalam berbelanja untuk kegunaan sendiri pun, Ustaz
Azizan cukup sederhana dan bersikap berpada-pada.

HARGA KEMEJA MB

Bagi membeli pakaian, beliau akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat,
Kangkong dan sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja
yang diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian
kegemarannya sejak dulu lagi.

Dan lebih mengujakan, ada antara kemeja-kemeja yang dibelinya di sini,
yang dipakai ketika majlis rasmi ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya
sekitar RM19.00 sahaja!

Pernah pentadbiran kerajaan negeri berhasrat melupuskan atau menjual
kenderaan rasmi Menteri Besar dua buah kereta Mercedes lama plat nombor
KY12 dan KN 2000, akibat terlalu teruk kerosakannya namun dihalang Ustaz
Azizan yang meminta dibaiki dan akhirnya dipakai semula oleh beliau
sendiri.

Tidak cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur atau ke
mana sahaja di negara ini,beliau tidak pernah menaiki kapal terbang
sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan 'tahan'
berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.

Kata juruiring dan pengawal peribadinya, beliau tidak akan singgah di
sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur
sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan pulang
tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.

Selain mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana
bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta. Cuma sesekali dijemput Tuanku
Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau tidak
upaya menolaknya.

HUBUNGAN DENGAN ISTANA

Bercerita pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya
terkenal dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja.
Kerana itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco
kerajaan negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan
perkembangan dan perjalanan urusan kerajaan.

Bukan itu sahaja, MB Kedah ini akan mengiringi Sultan Kedah di lapangan
terbang sama ada ketika baginda bertolak mahupun pulang daripada luar
negara. Biarpun sekadar 5 ke 10 minit cuma bersua dan mengiringi baginda,
tanda hormat yang ditunjukkan kepada Sultan amat tinggi.

Lazimnya, para pemimpin negara atau negeri akan menginap di hotel mewah
khususnya di Kuala Lumpur bagi urusan-urusan rasmi. Bukan seorang
perbelanjaan yang ditanggung, malah melibatkan para pegawai, setiausaha,
petugas, pemandu dan pegawal peribadi

Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi mengelakkan pembaziran, beliau menyewa
sebuah rumah tiga bilik di lokasi yang dirahsiakan di ibu kota untuk
didiaminya bersama para petugas. Betapa cermatnya dan bayangkan apabila
perbelanjaan menginap di hotel yang boleh mencecah RM80,000 sebulan dapat
dijimatkan!

Menarik cerita MB Kedah ini ketika berada di rumah sewanya itu. Saya
bertanya makanan kesukaan beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar,
lewat malam Ustaz Azizan meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal
atau seperti selalunya, hanya meminta mereka memasakkan mee segera
untuknya!

Jika di Kedah pula, beliau suka hidangan gulai masam ikan dan ulam-ulaman
disajikan. Dan tatkala melawat kawasan kampung di sekitar Kedah bagi
tujuan rasmi ataupun tidak formal, masyarakat rata-ratanya sudah tahu
makanan kegemaran beliau dan menghidangkannya setiap kali beliau
menziarahi penduduk di situ.

Manakala kalau di rumah, sebelum waktu tidur jam 10 malam, Ustaz Azizan
suka berbaring di sofa panjang sambil membaca buku-buku atau kitab-kitab
tafsir. Itu hobinya sejak dulu lagi. Kadang-kadang asyik membaca, beliau
boleh terlena di situ. Minatnya pada buku sukar disangkal. Presiden PAS
Dato' Seri Hadi Awang juga, ada masa meminta Azizan menyemak buku
tulisannya sebelum diterbitkan.

SAMPAI KULIAH

Jika berkesempatan, beliau meneruskan kesinambungan dakwah dengan
menyampaikan kuliah yang selalunya diadakan di Kompleks PAS ataupun
Kediaman Rasmi MB di Seri Mentaloon setiap Jumaat. Bukan sedikit pengikut
atau yang minta mendengar kuliah yang disampaikan, dan ada masa bergilir
dengan Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din.

Ya, beliau tidak mahu menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana
itu tetapi menjadikan bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat
bagi apa jua program pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa
dikenakan sebarang bayaran.

Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat, kawan dan lawan sudah menjadi buah
mulut orang. Mereka amat kenal gerak gaya dan perangai Menteri Besar
mereka yang cukup mesra dan suka berseloroh. Beliau jarang menghampakan
orang, bahkan tetamu yang menjengah ke rumah ataupun ke pejabatnya sama
ada melalui temujanji ataupun yang datang secara spontan.

Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10 artis serta 40 krew
produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran di Kedah diraikan
oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan tengah hari.

Biarpun rombongan itu terlewat satu jam sedangkan MB mempunyai acara di
lokasi yang lain, Ustaz Azizan masih sabar menunggu dan melayan tetamu,
membuat kebanyakannya malu tersipu. Bukti, pemimpin parti Islam ini
sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.

Selain itu, Ustaz Azizan sering mempamerkan keprihatinannya terhadap
masalah dan kebajikan rakyat. Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan
Kedah, beliau dengan lengkap berpakaian baju melayu bergegas ke tempat
kejadian setelah dimaklumkan terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di
Sungai Limau sewaktu cuti Tahun Baru Cina tempoh hari.

Beliau tiba, ketika api sedang naik menjulang sambil memerhatikan bomba
dan sukarelawan memadamkan kebakaran malah datang sekali lagi keesokan
harinya bersama Tengku Bendahara Kedah, menyampaikan sumbangan derma
kilat kepada mangsa.

Begitu juga dengan kejadian ribut kuat di Kuala Ketil yang melibatkan
lebih 300 penduduk mengalami kerosakan kediaman, yang mana sehari selepas
kejadian, Ustaz Azizan tiba awal dengan pasukan rombongannya menyampaikan
sumbangan derma.

MATI RENTUNG

Ada satu kisah ketika, alam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur kerana
urusan mesyuarat, beliau mendapat khabar sebuah keluarga Cina di Jitra
yang kehilangan dua orang anaknya akibat mati rentung. Kisah menyayat
hati itu, dilaporkan semua media. Beliau kemudian lantas ke tempat
kejadian, tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu.

Ustaz Azizan tiba menyampaikan sendiri bantuan dan duduk bersama kedua
ibu bapa kanak-kanak tersebut sambil cuba mententeramkan kesedihan mereka
tatkala jenazah keduanya masih berada dalam keranda dan belum
dikebumikan.

Selain itu, jika tetamu yang hadir atau membuat kunjung hormat, Ustaz
Azizan akan melayan dan meraikan mereka sehabis mungkin sehinggakan
beliau meneliti terlebih dahulu menu makanan yang bakal dihidangkan
supaya para tetamunya mendapat sambutan yang terbaik.

Jika tiada acara lain, beliau lebih suka makan di dalam pejabatnya
bersama staf mahupun para pegawai, di samping mengeratkan hubungan
kekeluargaan dengan warga kerja di Wisma Darul Aman itu.

Bukan sediki
t yang sudah bertandang ke pejabatnya, daripada beberapa Menteri Pusat,
para kedutaan, korporat atau konglomerat, guru, pelajar, bomba dan aneka
ragam sehinggalah makcik pakcik dari kampung. Semua teruja dan mahu
bertemu pemimpin disegani ini.

Biarpun beberapa media adakalanya cuba menconteng arang, tetapi secara
purata dan majoriti, ramai yang tidak termakan racun hasutan. Semua telah
menjadi saksi kepala. Tinjaun rambang yang dibuat, semuanya amat menyukai
corak pentadbiran Azizan dan jika kekal begini, maka berputih matalah,
mereka yang berhasrat atau mahu merujuk kembali kuasa yang sudah lama
berpisah dari diri.

Walaupun media melaporkan songsang, hakikatnya pengamal media arus
perdana dan alternatif di Kedah, menganggap Ustaz Azizan seorang yang
mesra media. Beliau amat kenal seorang demi seorang wartawan yang membuat
liputan. Ingatannya tajam. Bukan itu, sahaja, AUstaz zizan akan menjawab
semua soalan yang ditujukan dengan pancungan hujahnya yang bernas.

PERANGKAP WARTAWAN

Tetapi awas, bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba 'menggoreng'
fakta, akan menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok
perangkap wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga
wartawan begitu berhati-hati mengelak serkap jarang.

"Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato' Seri? tanya seorang
wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.

"Kamu ni mandi tak pagi tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian
dijawab 'ya' oleh wartawan itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak
mandi atau berbau busuk.

"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti
mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah
kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya
hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.

Sebenarnya setiap kali, sidang media di pejabat Menteri Besar, seminggu
sekali adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh pengamal media. Bukan
setakat mendapatkan berita, tetapi lebih kepada kemesraan hubungan serta
bergurau senda dengan Ustaz Azizan, yang menganggap para wartawan sebagai
sebahagian daripada keluarganya.

JADI PENTERJEMAH

Jika sidang media dibuat dengan para duta atau diplomat asing, Ustaz
Azizan lazimnya bertindak sebagai penterjemah dalam bahasa Inggeris dan
membantu media menjelaskan jawapan.

Selain asakan fitnah lawan, beliau juga sering dilambakkan dengan
segunung harapan oleh penyokong parti dan rakyat negeri supaya melakukan
perubahan besar-besaran agar nampak hebat dan boleh dipandang semua,
tetapi tidak pernah melatah. Beliau bukan seorang yang gopoh dalam
mengatur langkah.

Kata seorang ustaz menjawat exco pemuda negeri, Ustaz Azizan bukan
seorang yang 'ghairah' berceramah atau suka menunjuk aksi di sana sini,
baik sebelum menjadi MB ataupun kini. Beliau sering mengutamakan jentera
parti, memantapkan sistem dan pentadbiran kerajaan negeri.

RAMADAN

Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas
MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar
Ramadan tahun lalu.

Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar ribuan risalah palsu yang
menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah akan memberi sumbangan
wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.

Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat MB bagi menuntut
apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz Azizan
yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran orang
ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang berlaku.

Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas
itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah
sebaliknya!

Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan
risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari
jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan
yang dihebahkan palsu itu.

Lantas beliau mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak
RM50.00 seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu
datangnya daripada poketnya sendiri!

TERTIKAM MATA SENDIRI

Akhirnya permainan muslihat lawan, tertikam mata sendiri. Perbuatan keji
yang diharapkan dapat menusuk dan mencincang imej Azizan atau nama busuk
parti bertukar pujian melangit atas sifat pemurah pemimpin itu. Rupanya,
kilasan dan serangan lawan melukakannya pun belum tentu!

Begitulah kehebatan seorang Azizan yang tiada duanya, yang mampu
dinukilkan semoga bisa merungkai kekeliruan dan tuduhan tak bermata
terhadapnya selama ini.

Sesungguhnya rakaman dua tahun lebih, kelibat keperibadian beliau, tidak
mampu dikarang berkajang-kajang. Hanya selembar kisah, secebis cerita
untuk tatapan semua untuk mengenali, cuba mendekati dan mencontohi sikap
beliau, yang jauh di mata dekat di hati.

Moga mendoakan, agar kepimpinannya berpanjangan dan sekiranya berterusan,
maka mudahlah saya menyudahkan cerita 1001 macam di sebalik tabir Ustaz
Azizan Razak ini. Salam Ramadan al-Mubarak!

No comments:

Post a Comment